ISMAIL (tiga dari kanan) bergambar bersama keluarganya selepas diumumkan memenangi Cabutan Istimewa BSN SSP bernilai RM1 juta di Pasaraya Mydin, Bertam, Kepala Batas. hari ini. FOTO Nur Izzati Mohamad.
ISMAIL (tiga dari kanan) bergambar bersama keluarganya selepas diumumkan memenangi Cabutan Istimewa BSN SSP bernilai RM1 juta di Pasaraya Mydin, Bertam, Kepala Batas. hari ini. FOTO Nur Izzati Mohamad.
Nur Izzati Mohamad


“ALHAMDULILLAH, syukur kerana berkat menabung sejak lima tahun lalu membuatkan saya memperoleh hasil di luar jangkaan,” kata Ismail Din, 64, yang memenangi Cabutan Istimewa Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM1 juta, hari ini.

Pesawah menetap di Permatang Tinggi, Kepala Batas, itu berkata, dia sudah menjangkakan kemenangannya selepas memperoleh surat selain rumahnya dikunjungi pegawai BSN minggu lalu.

Katanya, dia mula menyimpan dan melabur melalui skim diperkenalkan BSN itu sejak lima tahun lalu dengan jumlah simpanannya kini mencecah RM200,000.

“Sejak dulu saya memang suka menabung dan menyimpan melalui SSP demi masa depan keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah berkenaan di Pasaraya Mydin dekat Bertam, Kepala Batas, hari ini.

Majlis penyampaian disempurnakan Pengarah BSN Pulau Pinang, Abdul Rani Sa’ad.

Ismail berkata, dia akan memanfaatkan hadiah yang dimenanginya itu untuk isteri, anak serta cucunya.

Dalam majlis itu, selain Ismail, terdapat lima lagi pemenang memenangi cabutan istimewa mengikut kategori diperkenalkan dan membawa pulang hadiah antaranya kereta Perodua Myvi, cabutan hadiah istimewa bernilai RM10,000 dan RM25,000 serta telefon pintar i-Phone8.

Difahamkan, cabutan istimewa bernilai RM1 juta itu buat kali pertamanya dimenangi peserta dari Pulau Pinang.

Sementara itu, Abdul Rani berkata, sebagai bank dimandatkan kerajaan untuk menggalakkan masyarakat terutama golongan muda menyimpan, BSN berusaha memperkenalkan produk dengan ciri-ciri simpanan menguntungkan seperti BSN SSP.

“Sehingga Mei lalu, BSN SSP terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila lebih 3.1 juta penyimpan dicatatkan di seluruh negara dengan simpanan lebih RM3.32 bilion.

“Bagi tahun ini, BSN memperkenalkan cabutan baharu sebagai penghargaan khas untuk penyimpan, sekali gus memberi lebih banyak peluang dan ganjaran yang boleh dinikmati penyimpan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 7:05 PM