ANTARA pelayan pelanggan warga Vietnam yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Seri Kembangan, hari ini.
Mohd Azam Shah Yaacob


PELANGGAN lelaki disyaratkan membeli kalungan bunga dengan bayaran tertentu sebelum disaji tarian lucah dan layanan ghairah oleh pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Itu modus operandi sebuah pusat hiburan di Seri Kembangan, Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lalu bagi menarik pengunjung mahu mendapatkan layanan istimewa GRO warga Vietnam.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu dihidu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menyerbu pusat hiburan berkenaan menerusi Ops Mega 3.0, jam 2 pagi hari ini.

Dalam operasi itu, seramai 34 wanita warga Vietnam bekerja sebagai GRO ditahan bersama tiga lelaki Vietnam dan dua lelaki Bangladesh yang sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi itu bermula jam 2 pagi dan berakhir tiga jam kemudian.

“Berdasarkan maklumat dan risikan JIM, pusat hiburan berkenaan sudah menawarkan kegiatan tidak bermoral itu sejak beberapa bulan lalu.

“Justeru, kita melakukan serbuan dan berjaya menahan 39 warga asing terdiri daripada 34 wanita warga Vietnam, tiga lelaki Vietnam dan dua lelaki Bangladesh,” katanya ketika dihubungi.

Mustafar berkata, selain tarian lucah dan layanan ghairah, GRO berkenaan juga dipercayai turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

“Kita percaya kumpulan GRO itu turut menawarkan khidmat seks kepada pengunjung dengan bayaran tertentu yang dipersetujui bersama.

“Khidmat seks itu dipercayai dilakukan di hotel berdekatan atau di mana-mana lokasi dipersetujui pelanggan berikutan pusat hiburan terbabit tidak menyediakan bilik khas,” katanya.

Katanya, mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 7:47 PM