PENGGUNAAN penilaian pemanduan komputer atau e-TESTING bagi ujian Bahagian II (Litar) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di semua 220 institusi memandu seluruh negara bermula tahun depan akan menghapuskan pakej gerenti lulus yang ditawarkan ketika ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, sistem itu bukan saja lebih telus seperti yang dinyatakan sebelum ini, ia juga dapat menghapuskan tawaran pakej gerenti lulus yang lebih mahal berbanding harga siling.

“Ketika ini memang kita tetapkan harga siling untuk mengambil lesen iaitu RM1,150 untuk manual dan RM1,250 bagi kereta automatik tetapi hakikatnya pelajar perlu membayar RM1,800, RM2,000 dan RM2,500 menerusi pakej gerenti lulus.

“Saya banyak menerima aduan dan di tempat saya di Negeri Sembilan, ada yang perlu membayar RM1,800 atau RM1,900. Ramai yang bimbang jika tidak membayar mereka perlu mengambil lesen sebanyak dua kali.

“Kami mahu pastikan harga siling yang ditetapkan menyamai harga hakiki yang perlu dibayar, mungkin harga siling lesen akan meningkat sedikit, namun kerajaan akan pastikan ia lebih rendah berbanding harga hakiki ketika ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima taklimat berkaitan projek landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Iskandar Puteri.

Pada masa sama, Anthony berkata, setakat ini kerajaan belum ada keputusan sama ada mahu meneruskan projek Bas Rapid Transit (BRT) di Iskandar Malaysia.

“Kami masih meneliti dan tiada sebarang keputusan, apa yang pasti, dua projek yang diberi komitmen adalah landasan berkembar ETS Gemas-Johor Bahru dan Sistem Rapid Transit (RTS), kedua-duanya adalah keutamaan,” katanya.

BRT sepatutnya bermula pada suku pertama tahun ini dan beroperasi secara berperingkat bermula pertengahan 2021 merangkumi 90 peratus kawasan Iskandar Malaysia membabitkan laluan kira-kira 300 Kilometer.

Ketika ditanya cadangan membawa Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ke dalam Kementerian Pengangkutan, Anthony berkata buat masa ini belum ada apa-apa perkembangan mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:01 PM
JOHOR BAHRU 30 JULAI 2018. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew menjalani ujian memandu kereta yang menggunakan sistem ujian E-testing di Institut Memandu Berjaya di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru ketika. NSTP/ZAIN AHMED
JOHOR BAHRU 30 JULAI 2018. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew menjalani ujian memandu kereta yang menggunakan sistem ujian E-testing di Institut Memandu Berjaya di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru ketika. NSTP/ZAIN AHMED