Skip this ad x
MOHD Anuar Arifin (kiri) dari Kampung Sekati, Manir menunjukkan durian dijualnya di Dataran Batu Buruk. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“LEBIH baik saya berniaga daripada tidur kerana musim durian hanya sekali setahun dan pada tahun ini durian paling banyak,” kata Mohd Anuar Arifin, 32.

Beliau adalah antara belasan peniaga yang bersengkang mata berniaga durian di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Mohd Anuar akan berasa rugi sekiranya tidak memanfaatkan sebaik mungkin peluang untuk berniaga durian pada tahun ini berikutan terlalu banyak bekalan dari Besut dan Kelantan.

“Saya berniaga durian sejak awal Jun lalu dan berniaga pelbagai jenis durian bergred yang diambil dari Johor, sebelum menjual durian dari Besut.

“Dua gerai durian yang diuruskan saya dan keluarga iaitu di Manir dan Batu Buruk mampu menjual sebanyak 500 hingga 700 kilogram setiap hari bermula jam 4.30 petang hingga 3 pagi.

“Semakin lewat pagi, pelanggan semakin rancak datang untuk membeli durian. Maklumlah durian kini dimakan tidak mengira waktu,” katanya yang tinggal di Kampung Sekati, Manir.

Beliau berkata, peluang untuk berniaga durian dengan harga rendah tidak selalu diperoleh kerana harga raja buah itu bergantung kepada permintaan semasa.

“Sekiranya buah banyak, harga durian akan turun, tetapi jika durian berkurangan biarpun permintaan rendah, ia tetap pada harga tinggi kerana durian antara buah-buahan tempatan paling digemari ramai.

“Jika durian rosak, ia tidak dibuang sebaliknya dipilih untuk dijadikan tempoyak dan dijual dengan harga RM2 sekilogram,” katanya.

Mohd Anuar berkata, durian dijual dengan harga RM6 sekilogram bagi durian berkualiti, manakala durian yang agak kecil saiznya dijual secara longgok iaitu RM20 hingga RM30 selonggok.

“Memang seronok menjual durian pada musim sekarang kerana peniaga berpeluang membuat kebajikan ketika berniaga seperti memberi hadiah seperti buah percuma kepada pelanggan.

“Kadang-kadang pelanggan membeli pada kuantiti banyak dan sebagai tanda penghargaan peniaga menghadiahkan sebiji atau dua biji sebagai sagu hati kepada pelanggan, sekaligus mendorong mereka untuk membeli lagi di gerai kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 2:08 AM