GAMBAR hiasan
Sarah Zulkifli


AKIBAT memiliki gari polis, penyelia kilang dijatuhi hukuman denda maksimum RM500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Arsami Zakaria, 36, selepas dia mengaku bersalah sebaik tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki gari yang dibekalkan kepada pihak polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malaysia International Exhibition dan Convention Centre, Jalan Dulang, Mines Resort City, Seri Kembangan, pada 3.30 petang, 17 Julai lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh .

Bagaimanapun, lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu hukuman ringan atas alasan dia adalah penanggung utama keluarga.

Sementara itu, tertuduh sama juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan terhadap empat pekerja hotel, 12 Julai lalu.

Mohd Arsami dan Mohd Nazreen Ariffin, 29, didakwa secara bersama-sama melakukan samun berkumpulan bersama dengan merompak wang tunai berjumlah RM1,995, sekeping kad bank dan empat buah telefon bimbit milik empat pekerja hotel.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Hotel Sun Inn, Jalan Dagang, Serdang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy'ari Kamaruzaman menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 dengan seorang penjamin.

Namun, kedua-duanya yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan tidak berkemampuan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 3:24 PM