DEWI (kiri) memegang replika kunci MINI Cooper S yang dimenangi sambil diperhatikan Goon (kanan) dan Shairan Huzani, hari ini.
Nor Afzan Mohamad Yusof


KESETIAAN selama lima tahun sebagai pemegang kad keahlian BonusLink membawa tuah kepada Dewi Murni Khatib Antau apabila diumumkan memenangi MINI Cooper S dalam Peraduan Fiesta MINI BonusLink.

Dewi berkata, dia terkejut, namun gembira apabila mengetahui mengenai kemenangan itu selepas dihubungi wakil BonusLink.

Katanya wakil syarikat itu menyatakan namanya terpilih sebagai pemenang pertama di antara empat buah kereta MINI Cooper S yang menjadi rebutan dalam peraduan itu.

“Sebagai pengguna setia kad keahlian sejak 2009, kad ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya kerana aktif menggunakannya dalam urusan harian.

“Hari ini saya hadir sebagai pemenang dan saya bersyukur serta berterima kasih kepada BonusLink,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Hadiah disampaikan Pengurus Besar BonusLink, Victor Goon dalam majlis penyampaian hadiah di stesen minyak Shell Kinrara, Lebuhraya KESAS, Puchong.

Turut hadir, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain serta dua pemenang saguhati yang masing-masing menerima baucer Shell bernilai RM500 dan 500 mata BonusLink.

Sementara itu, Goon berkata, peraduan itu berupaya melonjak penggunaan kad berkenaan dalam kalangan ahli di premis perniagaan rakan niaga BonusLink.

“Peraduan itu turut didakan sempena meraikan ulang tahun ke-20 BonusLink. Sejak penubuhannya pada 1998, keahliannya mencatatkan lebih lapan juta. Kami mahu semua orang meraikan ulang tahun ini, menerusi pelbagai tawaran hadiah menarik,” katanya.

Selain empat buah kereta MINI Cooper S, turut menjadi rebutan ialah baucer bahan api Shell bernilai RM200,000 dan 200,000 mata ganjaran BonusLink.

Peraduan itu berlangsung selama dua bulan berakhir 31 Ogos ini, menawarkan empat MINI Cooper S dan Dewi Murni adalah pemenang sulung kereta berkenaan.

Untuk menyertai peraduan itu, orang ramai hanya perlu meleretkan kad BonusLink di premis rakan niaga BonusLink.

Ahli yang mendaftar untuk kad Visa AmBank Bonuslink, sepanjang tempoh peraduan pula, layak untuk mendapat sehingga 10 kali penyertaan.

Menyemarakkan sambutan ulang tahun BonusLink, turut dianjurkan BonusLink Redemption Frenzy yang membolehkan ahli mendapat hadiah menarik.

Ia akan diadakan di lokasi terpilih termasuk Johor Bharu pada 4 Ogos, Melaka (11 Ogos) dan Pulau Pinang (18 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 10:46 PM