Pulau Besar. FOTO Arkib NSTP
Pulau Besar. FOTO Arkib NSTP
Fairuz Zaidan


KERAJAAN Melaka akan menjenamakan semula Pulau Besar termasuk memohon status penuh sebagai pulau pelancongan bebas cukai untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, langkah itu diyakini mampu mengubah persepsi dan reputasi pulau terbabit daripada terus dikaitkan dengan perkara seperti khurafat dan keramat.

"Kerajaan negeri berhasrat membangunkan Pulau Besar sebagai destinasi pulau pelancongan terkemuka seperti Pulau Langkawi dan ia (pembangunan) tidak akan berlaku dalam sekelip mata seperti pulau di negeri Kedah itu.

"Bagi status pulau bebas cukai, Pulau Besar sudah diberi hak (bebas cukai) yang agak konvensional sebelum ini iaitu bagi penjualan minuman keras dan rokok. Jadi, kita mahu ia diperluaskan lagi, termasuk produk berasaskan barangan elektrik, coklat, pinggan mangkuk dan kosmetik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Seri Negeri, di Ayer Keroh, hari ini.

Adly juga mahu Pulau Besar mempunyai produknya tersendiri untuk ditawarkan, termasuk sebagai hab produk berasaskan coklat susulan kedudukan negara ini sebagai antara negara pengeluar koko.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sebarang bentuk pelaburan baharu, termasuk bagi pembangunan industri koko di pulau berkenaan.

"Kita akan mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat dengan tokoh korporat, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah yang mempunyai kira-kira 85 peratus kepentingan pembangunan dan tanah di pulau itu, selain ia turut dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

"Ia bagi membincangkan status tanah serta pelan pembangunan yang boleh dibuat di pulau berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berhasrat mengazetkan kawasan saluran paip di pulau itu sebagai kawasan larangan menangkap ikan susulan masalah kerosakan dan kebocoran saluran paip yang terpaksa ditanggung oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 12:23 PM