MPV Perodua Alza terbakar selepas bertembung dengan kereta sekolah memandu di Jalan Batu 8, Bagan Serai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SEBUAH kenderaan pelbagai guna (MPV) terbakar selepas bertembung dengan kereta milik sekolah memandu di Jalan Batu 8, Bagan Serai, hari ini yang turut mengakibatkan dua wanita cedera.

Kemalangan pada 8 pagi itu membabitkan Perodua Alza dengan Perodua Viva dinaiki dua lelaki dan dua wanita.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Mohd Ridzuan Mohd Noor berkata, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati MPV Perodua Alza sedang terbakar dipercayai selepas bertembung dengan kereta.

“MPV berkenaan dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang wanita, namun mereka dikeluarkan oleh orang awam sebelum kenderaan itu terbakar dengan penumpang wanita terbabit cedera manakala pemandu selamat.

“Manakala kereta Perodua Viva milik sekolah memandu pula dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang wanita dan penumpang berkenaan turut cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, dua wanita yang cedera itu diberikan rawatan awal oleh Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dan kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Bagan Serai untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 2:24 PM