LOKASI kejadian. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
LOKASI kejadian. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


POLIS memburu seorang lelaki dipercayai terbabit kes cubaan bunuh dalam kejadian di kawasan setinggan Seguntor, dekat Batu 11, Sandakan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki berusia 40-an berkenaan dilaporkan cuba menyerang anggota polis dengan sebilah parang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, dalam kejadian itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menyerbu satu lokasi di kawasan berkenaan.

“Sebaik polis tiba, suspek sedang duduk di satu lokasi sambil memegang parang. Dia kemudian melarikan diri selepas melihat polis dan sempat masuk ke sebuah rumah kongsi, namun terus dikejar oleh anggota polis.

“Suspek kemudian menyerang anggota polis dengan parang disyaki jenis ‘barong’ menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Ramli berkata, sebaik tembakan amaran dilepaskan, suspek segera melarikan diri dan sempat membuang beg galas dibawanya.

“Lelaki itu kemudian gagal dikesan dan pemeriksaan dalam beg terbabit menemui dadah jenis syabu seberat enam gram.

“Dia dikehendaki selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan usaha mengesannya giat dijalankan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 11:16 AM