KENDERAAN yang rosak akibat dihempap pokok tumbang
Fazrik Kamarudin

Kuala Lumpur: Hujan lebat dan angin kencang yang semakin kerap berlaku di Lembah Klang sejak tiga hari lalu menyebabkan beberapa kes pokok tumbang dan menghempap kenderaan.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang kelmarin, pihak bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sebatang pokok tumbang di kawasan parkir Pangsapuri Semarak, Puchong, di sini.

Katanya, sekurang-kurangnya empat kereta mengalami kerosakan selepas dihempap pokok berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, anggota bomba bertindak memotong dan mengalihkan pokok dan dahan ke tempat yang selamat dengan bantuan kontraktor Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Menurutnya, kejadian sama turut berlaku di laluan utama dari Beranang ke Semenyih apabila beberapa pokok tumbang dan menutupi laluan sekitar jam 3.45 petang.

“Lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih bergegas ke lokasi kejadian bagi mengalihkan pokok berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati tiga batang pokok tumbang dan menghalang jalan utama yang menghubungkan Beranang dan Semenyih.

“Anggota kemudian mengalihkan pokok berkenaan dan membersihkan semula laluan bagi memastikan pengguna boleh menggunakan laluan itu dengan selamat,” katanya.


TIGA batang pokok tumbang yang menghalang laluan dari Beranang ke Semenyih, petang semalam.

Dalam satu lagi kejadian berasingan, sebatang pokok setinggi lebih 20 meter tumbang sebelum menutupi Jalan Kuala Kubu Bharu ke Rasa, Hulu Selangor.

Kejadian jam 6.22 petang kelmarin menyebabkan ratusan kenderaan termasuk penunggang motosikal tidak dapat melepasi kawasan itu.

Susulan itu, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menerima aduan segera bertindak memotong batang pokok berkenaan dengan dibantu penduduk kampung.

Tugas memotong pokok dan mengalihkan sisa dahan berjaya diselesaikan pada jam 7.35 malam.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan ribut petir masih berterusan diikuti hujan lebat dan angin kencang di Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga petang semalam.


ANGGOTA APM bertungkus-lumus memotong dahan pokok tumbang yang menutupi Jalan Kuala Kubu Bharu ke Rasa, Hulu Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 11:32 AM