PENEMUAN koleksi gambar dalam telefon bimbit pelanggan di kedai telefon bimbit di Sibu menjadi petunjuk baharu siasatan kes bunuh penjawat awam, Rabu lalu.

Difahamkan, pelanggan terbabit yang juga individu sedang dikesan polis, berkunjung ke premis berkenaan untuk membuka kata laluan telefon bimbit berkenaan atas alasan 'isterinya' terlupa kata laluan perantis berkenaan.

Pemilik premis itu yang enggan namanya disiarkan berkata, selepas kata laluan dibuka,beliau mendapati alat peranti itu dipenuhi gambar swafoto wanita bertudung dipercayai pemilik telefon berkenana.

"Saya tidak bertanya lanjut kerana individu terbabit memaklumkan telefon bimbit itu milik isterinya. Telefon bimbit itu diambil semula oleh lelaki itu pada 3 petang.

"Menjelang 5 petang, saya terlihat berita mengenai penemuan mayat wanita itu dan terkejut wajahnya sama dengan wanita bertudung dalam telefon bimbit berkenaan," katanya.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, yang juga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)ditemui mati dengan keadaan tangan dan kakinya diikat.

Mayat mangsa ditemui oleh rakan sekerjanya yang bergegas ke bilik sewanya apabila wanita itu tidak hadir syif tugasannya dan gagal dihubungi.

Pemilik kedai telefon bimbit itu berkata, beliau bertanya kepada ahli keluarga mangsa mengenai model dan warna telefon itu dan mereka mengesahkan telefon mangsa yang sama seperti dihantar ke premisnya didapati hilang pada hari mayatnya ditemui.

"Pemeriksaan kamera litar tertutup juga merakam wajah lelaki itu yang mirip wajah Philip Uja, 40-an, yang kini diburu pihak polis bagi membantu siasatan kes itu," katanyam

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada pemilik premis berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, hasil siasatan setakat ini mendapati mangsa memiliki dua unit telefon bimbit, namun hanya seunit sahaja ditemui di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Mati dihentak objek tumpul

Di manakah Philip Uja?

Suami gagal hubungi mangsa...

Kejam, mayat wanita diikat kaki, tangan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 1:16 AM