ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Perak berhampiran projek jambatan Sayong, Manong, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Farah Suhaidah Othman


MAYAT lelaki ditemui terapung di Sungai Perak, berhampiran projek jambatan Sayong, Manong, Kuala Kangsar, hari ini.

Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui pekerja di projek pembinaan terbabit yang ternampak susuk tubuh lelaki terapung di sungai itu pada 9.50 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan, berkata siasatan awal mendapati mayat lelaki itu dihanyutkan arus sungai.

Katanya, berikutan itu polis meminta bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar yang turut dibantu oleh orang awam untuk menaikkan mayat berkenaan ke jeti Pulau Semat.

“Pemeriksaan mendapati mayat tanpa pakaian itu telah kembung dan berbau.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira tiga atau empat hari lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zahiri berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada pengenalan diri ditemui pada badan mangsa dan terdapat tatu serigala di bahu kirinya.

Beliau berkata, setakat ini polis tidak menerima laporan kehilangan ahli keluarga di daerah berkenaan dan usaha mengesan waris mangsa setakat ini gagal.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.

“Tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 10:48 PM