Antara projek RUMAWIP yang siap dibina di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. FOTO Mohd Zaaba Zakeria
Syalikha Sazili

KEMENTERIAN Wilayah sedia meneruskan pembinaan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) menerusi tender terbuka demi manfaat warga kota.

Menteri Wilayah, Khalid Samad berkata, ketirisan pentadbiran terdahulu memberi cabaran baginya menyelesaikan pelbagai isu terutama kos projek perumahan.

Katanya, RUMAWIP mempunyai matlamat yang baik untuk menggantikan rumah usang Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Kementerian sedia meneruskan pembinaan RUMAWIP, PPR dan perumahan awam. PPR memang wajar ditukar dengan RUMAWIP kerana ada yang usianya 50 tahun sebelum kewujudan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) lagi.

“Kami menyedari kes tender tidak terbuka sebelum ini dan rundingan terus kepada pemaju tertentu yang mendedahkan berlakunya salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Jawatankuasa khusus akan diwujudkan bagi memastikan penjualan tanah dibuat menerusi tender terbuka dan tawaran terbaik,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi Fadzil (PH-PKR Lembah Pantai) semasa mencelah mengetengahkan rungutan penduduk miskin bandar yang menganggap harga ditawarkan bagi RUMAWIP masih terlalu tinggi.

“Ia menyebabkan anak jati bandar raya terpaksa membeli rumah di luar seperti Semenyih dan Rawang, sekali gus kian terpinggir dari tempat asal,” katanya.

Khalid berkata, kerajaan komited membangunkan kawasan perumahan dalam lingkungan kemampuan golongan sasar.

Katanya, Ahli Parlimen dan DBKL akan dibawa menyertai mesyuarat melakukan perancangan seperti dilakukan bagi penyediaan Pelan Wilayah 2040.

Beliau turut memberi jaminan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 akan diwartakan hujung tahun ini.

“Banyak masalah timbul apabila pelan draf terbabit tidak diwartakan sedangkan ia disediakan sejak 2008,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 11:04 PM