SENAPANG angin yang ditemui dalam serbuan itu.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


SERBUAN di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ensabang Jaya, Balai Ringin, di Serian, semalam bukan saja menemui dadah, malah selaras senapang angin.

Serbuan jam 10.30 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian hasil risikan, sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, dalam serbuan itu, tiga lelaki berusia 20 hingga 23 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah berkenaan menemui satu beg yang mempunyai dua tiub serbuk kristal disyaki syabu.

“Pasukan serbuan kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut dan menemui selaras senapang angin disorokkan di dalam bilik di rumah itu.

“Polis turut merampas 136 biji peluru timah yang dipercayai digunakan untuk senapang angin berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aswandy berkata, semua suspek dibawa ke IPD Serian untuk siasatan lanjut dan ujian urin mendapati mereka positif dadah.

Tambahnya, polis akan menjalankan siasatan berhubung pemilikan senapang angin berkenaan sekiranya ia digunakan untuk kegiatan jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

“Kejayaan ini adalah hasil maklumat dan kerjasama daripada penduduk setempat menerusi program polis bersama komuniti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 10:53 AM