GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti Nur Mas Erah Amran
cnews@nstp.com.my


CABANG aset darat, laut dan udara semasa Malaysia berada di kedudukan terbawah dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, keadaan itu jauh berbeza dengan era 1970-an apabila Malaysia berada di kedudukan teratas.

“Dari segi tentera laut, udara dan sebagainya dalam kalangan Asia Tenggara, negara kita berada di tempat paling bawah ketika ini.

“Vietnam jauh ke hadapan, Indonesia di tangga teratas, manakala Malaysia di bawah.

“Malulah kita kalau pergi ke peringkat antarabangsa sekarang, tetapi saya akan berusaha menjadikan Malaysia hebat semula, nombor satu semula,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad menjawab soalan tambahan Datuk Danyal Balagopal Abdullah (PH-PKR Port Dickson) yang meminta penjelasan berhubung isu peruntukan dan pertahanan.

Menjawab soalan asal Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-UMNO Mersing) mengenai tindakan jangka pendek bagi meningkatkan keupayaan udara negara, Mohamad berkata, Pesawat Pemantau Maritim (MSA) dan Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) adalah aset terbaik serta berupaya membantu pemantauan di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

“Kombinasi MSA dan UAV memiliki kelebihan tersendiri dan kita menilainya berdasarkan keupayaan aset serta perbandingan harga.

“Ada yang kata MSA baik, ada kata UAV pun baik, dan kita akan teliti kedua-dua pilihan yang ada untuk memperkasakan aset pasukan setaraf dengan keupayaan negara luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 3:37 PM