SNOR Azmi (dua kiri) menunjukkan dadah yang digunakan suspek di rumah sewa di Kampung Banting. FOTO ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


PERBUATAN keji gadis mengajar adik lelakinya menagih dadah terbongkar apabila mereka ditahan anggota polis dalam operasi di rumah sewa kenalan mereka di Kampung Banting, Sabak Bernam, kelmarin.

Operasi yang bermula 8.30 malam itu diketuai Inspektor Mohd Zulkhairie Mohd Noor bersama pegawai dan sembilan anggota dan menyaksikan kedua-dua suspek berusia 19 dan 14 tahun itu ditahan bersama empat yang lain dalam keadaan khayal.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Suprintendan Nor Azmi Isa berkata, operasi diadakan selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan mencurigakan di rumah sewa itu.

"Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menjumpai dadah jenis heroin seberat 79.2 gram dan syabu seberat 0.4 gram.

"Nilai heroin yang dirampas berjumlah kira-kira RM2,000 manakala syabu bernilai RM50," katanya.

Beliau berkata, empat lagi suspek yang ditahan kesemuanya lelaki berusia lingkungan 18 hingga 56 tahun.

Menurut Azmi, hasil semakan polis mendapati, penyewa rumah berusia 56 tahun turut mempunyai enam rekod kesalahan jenayah narkotik dan empat kes jenayah lain.

"Hasil ujian air kencing ke atas kesemua suspek yang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam mendapati mereka positif dadah," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 14 Ogos ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 12(2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 8:06 PM