ANGGOTA polis menggunakan tangga bomba untuk naik ke bangunan sebelum memberkas tiga lelaki yang cuba mencuri sarang burung walit di Jalan Baru Pak Sabah, Dungun, pagi semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


TIGA lelaki ditahan ketika cuba mencuri sarang burung walit di premis di Jalan Baru Pak Sabah, Dungun, awal pagi semalam.

Sebelum kejadian, pemilik premis berusia 40 tahun menyedari bangunan tiga tingkat dijadikan sarang burung walit itu diceroboh pada 11 malam selepas mendapati sistem isyarat aplikasi penggera telefon bimbitnya berbunyi.

Mangsa ternampak kelibat orang tidak dikenali itu sebelum menghubungi polis yang bergegas ke lokasi kejadian.

Ketiga-tiga suspek dipercayai menceroboh masuk bangunan tiga tingkat terbabit dengan menggunakan tangga diperbuat daripada tali.

Anggota polis kemudian mendapatkan bantuan bomba untuk naik ke atas bangunan menggunakan tangga.

Ketiga-tiga suspek berasal dari Batu 5 Dungun; Taman Tas, Kuantan dan Jalan Pekan, Pahang ditahan sekitar 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, semua suspek yang diberkas itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut.

“Polis merampas sebuah beg hitam dan tangga diperbuat dengan tali daripada suspek.

“Kami mendapat perintah tahanan reman selama empat hari dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 12:22 AM