SITI Ameerah menunjukkan sijil dan hadiah yang diterima dalam kategori Anugerah Kecemerlangan Hafazan al-Quran. FOTO Amrullah Abdul Karim

Oleh Amrullah Abdul Karim

[email protected]

Foto Hafiz Sohaimi dan Amrullah Abdul Karim

KUALA KUBU BHARU: Hafaz 30 juzuk al-Quran hanya dalam tempoh 22 jam.

Itu kemampuan dibuktikan Siti Ameerah Fauzi, 19, yang melayakkan dirinya menjadi seorang daripada empat penerima Anugerah Kecemerlangan Hafazan al-Quran pada Istiadat Konvokesyen Darul Quran (DQ) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kali ke-27 di sini hari ini.

Siti Ameerah berkata, dia menghafaz al Quran dalam tempoh itu bermula selepas solat Zuhur dan hanya berhenti untuk menunaikan solat lima waktu, makan serta ke bilik air sebelum berakhir jam 11 pagi keesokan hari.

“Sebenarnya, ini sasaran peribadi dan hasrat guru pembimbing yang mahu saya hafaz 30 juzuk dalam tempoh kurang 24 jam.

“Sebelum ini, jarang kita dengar seseorang mampu membaca dan menghafaz al Quran sehari.

“Justeru guru-guru membimbing saya untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

Istiadat konvokesyen itu disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof .

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM merangkap Pengerusi Lembaga DQ, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim serta Pengarah DQ, Dr Nordin Ahmad.

Seramai 732 graduan menerima Ijazah, Diploma dan sijil masing-masing.

Siti Ameerah berkata, itu kali kedua dia khatam al-Quran sepanjang menuntut dalam program Pensijilan Tahfiz DQ Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 18 bulan.

“Kali pertama saya mengambil masa 14 bulan untuk menghafaz al-Quran bermula Januari 2017 hingga Februari 2018.

“Tiada sebarang petua diamalkan tetapi cukup sekadar meletakkan keinginan dan istiqamah dalam pembacaan dari awal hingga akhir,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Perdana Menteri, Muhammad Faruq Muhammad Idris, 22, berkata, dia tidak menyangka usahanya mengikuti jejak abangnya sebagai huffaz berhasil.

“Saya masih ingat ayah pernah berseloroh kepada abang yang tidak menaiki pentas untuk menerima anugerah ketika dia menjadi graduasi di dewan ini tahun lalu.

“Seloroh ayah itu menjadi pembakar semangat untuk saya membuktikan sesuatu. Walaupun anugerah ini bukan matlamat saya, ia membanggakan keluarga,” katanya.

Bagi pelajar cacat penglihatan, Nur Syuhada Alias, 19, dia berbangga menjadi penerima Sijil Asas Tahfiz al-Quran kategori Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP) walaupun baru menghafal 10 juzuk al-Quran sepanjang 18 bulan menuntut di institusi itu.

Anak kedua daripada empat beradik berasal dari Kuala Terengganu itu hanya menghafal dengan berbekalkan senaskhah al-Quran bril yang diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 14 tahun lalu.

Ends....

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 2:00 AM