PENGURUS TS Plumbing & Construction (M) Sdn Bhd, Wong Woon Chin, keluar dari mahkamah selepas syarikat itu didenda RM18,000 kerana melonggokkan sisa pepejal tanpa kebenaran di kawasan perumahan, tahun lalu. Foto NSTP/IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
PENGURUS TS Plumbing & Construction (M) Sdn Bhd, Wong Woon Chin, keluar dari mahkamah selepas syarikat itu didenda RM18,000 kerana melonggokkan sisa pepejal tanpa kebenaran di kawasan perumahan, tahun lalu. Foto NSTP/IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEBUAH syarikat kontraktor didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran, tahun lalu.

Hakim Jailani Rahman membuat keputusan itu selepas Pengurus TS Plumbing & Construction (M) Sdn Bhd Wong Woon Chin yang mewakili syarikat terbabit mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Jailani dalam penghakimannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu atas faktor kepentingan awam kerana membuang sampah di kawasan kediaman yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat itu didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan di Lot 127197 berhampiran Bandar Selesa Jaya, Johor Bahru pada jam 10.26 pagi, 9 Mei 2017.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nor Sakinah Ibrahim, manakala peguam Nurul Asyiqin Azman mewakili syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor Zainal Fitri Ahmad dalam satu kenyataan media berkata, masyarakat diingatkan supaya memberhentikan pembuangan sampah di lokasi yang tidak dibenarkan dengan serta-merta.

“Semua sisa pepejal terkawal hendaklah dilupuskan di tapak pelupusan yang dibenarkan dan SWCorp akan mengambil tindakan tegas dengan mengheret individu atau pihak tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Katanya, ini adalah pendakwaan kedua pada tahun ini membabitkan kesalahan seumpama itu selepas sebuah syarikat kontraktor perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan sisa binaan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, bagi dua pertuduhan pada 8 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:33 AM