SERAMAI 15 penghuni empat rumah teres dua tingkat di Lorong 5, Kampung Pandan, Kuala Lumpur hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, pagi tadi. Foto NSTP/HAFIDZUL HILMI MOHD NOOR
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 15 penghuni empat rumah teres dua tingkat di Lorong 5, Kampung Pandan, Kuala Lumpur hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran jam 11.30 pagi itu disedari jiran mangsa yang berada di rumah ketika kejadian.

Mangsa S Sellanuthu, 58, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum dihubungi isterinya mengatakan rumah mereka terbakar.

Menurutnya, dia yang berpatah balik mendapati empat deretan rumah termasuk rumahnya

hangus dijilat api.

“Saya menghuni rumah berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu berasa terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan barangan dan dokumen penting, malah perabot turut musnah.

“Beberapa kenderaan berjaya diselamatkan kerana diletak di luar rumah. Namun, saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga cedera dalam kejadian itu,” katanya.


KESAN kebakaran empat rumah teres dua tingkat di Lorong 5, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Foto NSTP/HAFIDZUL HILMI MOHD NOOR

Sementara itu, Pangarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khairuddin Deraman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12 tengah hari sebelum tiga jentera dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari. Setakat ini, siasatan lanjut berhubung punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 4:07 PM