SHAMSUDIN menunjukkan alat permainan kanak-kanak yang memberi kejutan elektrik. FOTO Mary Victoria Dass
SHAMSUDIN menunjukkan alat permainan kanak-kanak yang memberi kejutan elektrik. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


PENJUALAN alat permainan kanak-kanak yang boleh memberi kejutan arus elektrik dikhuatiri berbahaya dan berleluasa hingga ke Johor.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Mewah, Shamsudin Baharon, 45, berkata, alat permainan yang dikenali sebagai ‘Shock Chewing Gum’ itu berbentuk seperti gula-gula getah.

Beliau berkata, alat permainan yang dijadikan bahan untuk bergurau senda memiliki kepingan getah menjulur keluar untuk ditarik.

Shamsudin berkata, apabila kepingan getah itu ditarik, ia akan mengalirkan arus elektrik menerusi tapak tangan individu terbabit dan boleh menjadikan jari kebas seketika.

Menurutnya, mungkin permainan berkenaan dianggap menyeronokkan namun kesan sampingannya masih belum diketahui.

Katanya, ia juga mungkin berbahaya bagi kanak-kanak dan warga emas.

Menurutnya, alat berkenaan dijual dengan harga RM2 di pasar raya di Batu Pahat.

"Saya menerima maklumat menerusi guru yang juga ahli keluarga tinggal di Batu Pahat menyatakan anak lelakinya yang bersekolah rendah memiliki alat permainan berkenaan.

"Alat itu dijual dengan bebas di pasar raya di Batu Pahat dan saya sendiri meninjau ke premis berkenaan.

"Saya yakin ia dijual di lebih banyak premis," katanya.

Katanya, pihaknya khuatir penjualan alat permainan berkenaan berleluasa hingga ke Johor Bahru.

"Diharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan sesuai," katanya.

Sementara itu, jurucakap KPDNKK berkata, sehingga ini pihaknya belum menerima aduan berkaitan penjualan alat permainan berkenaan.

"Ianya dikategorikan bukan barangan permainan yg mempunyai standard tertentu.

"Ia lebih kepada gajet untuk 'prank' dan orang yang membelinya mengetahui ia ada renjatan elektrik.

"Pengadu diminta aduan di pejabat kami untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 8:15 PM