Abdullah semasa siri kempen pemilihan PKR mendakwa Daim cuba menghalang Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
Mohd Anwar Patho Rohman

PEMUDA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada BERSATU) memberi amaran kepada pemimpin PKR tidak mengaitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan parti itu.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) perlu menjaga sensitiviti parti lain dan berhenti melakukan tindakan boleh memecah belahkan perpaduan antara parti.

“Ini berikutan tuduhan Ahli Parlimen Kapar yang mengatakan Tun Daim Zainuddin dan Tun Dr Mahathir berkonspirasi bersama seorang calon Timbalan Presiden PKR bagi menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Tuduhan ini tidak berasas dan tidak mencerminkan keharmonian diamalkan PH serta hanya bertujuan untuk memenangkan pihak satu lagi.

“Armada BERSATU memberi amaran, jangan babitkan Dr Mahathir dalam permainan politik parti lain, sesungguhnya Tun tidak pernah mencampur tangan dalam urusan parti lain.

“Amat mendukacitakan apabila beberapa pihak tidak bertanggungjawab cuba bermain persepsi berunsur fitnah demi kepentingan politik masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen PKR Kapar, Datuk Abdullah Sani yang juga calon merebut jawatan Majlis Pimpinan Pusat PKR mendakwa terdapat usaha menyekat Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir.

Dalam satu rakaman video yang disebarkan di media sosial, Abdullah ketika berkempen dalam pemilihan PKR di Seremban pada Sabtu lalu mendakwa banyak pihak cuba menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri termasuk mengaitkan Daim dan Dr Mahathir.

Ulya Aqamah berkata, PKR perlu berkempen secara berhemah dan profesional, merapatkan saf, mengikhlaskan niat dan muhasabah diri.

“Semoga Allah merahmati kita semua dan permudahkan urusan pemilihan kepemimpinan PKR,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 9:36 PM