OPERASI berterusan dilakukan pihak berkuasa bagi mengekang kegiatan sindiket rokok seludup.
Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan mengakui keuntungan dijana menerusi unsur kawtim antara pihak berwajib dan sindiket penyeludupan rokok yang dikuasai kartel ala mafia turut membabitkan jenayah keganasan.

Keuntungan besar kartel rokok seludup berkenaan mampu menggugat kestabilan dan keselamatan negara sekiranya tidak ditangani segera.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, segala bentuk jenayah terancang seumpamanya diakui mendapat sumber yang terhasil daripada satu nilai tindakan haram yang mungkin membabitkan tindakan seperti pengelakan cukai atau perakaunan palsu.

Beliau berkata, atas faktor itu, kerajaan menguatkuasakan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) yang mana Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah satu daripada agensi penguatkuasaan yang diberi kuasa.

“Diakui rokok antara komoditi yang menyumbang kepada ketirisan hasil kerana ia adalah komoditi yang menarik duti/cukai pada kadar yang tinggi.

“Kadar duti import bagi rokok adalah sebanyak 20 sen per batang, duti eksais 40 sen per batang dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pula pada kadar enam peratus (sehingga 31 Mei 2018).

“Antara tindakan tegas ke atas sindiket penyeludupan rokok diambil melalui penguatkuasaan AMLATFPUAA 2001 bagi mendapatkan semula hasil yang hilang melalui aktiviti haram ini,” katanya mengulas pendedahan Harian Metro berkaitan isu berkenaan.

Guan Eng berkata, tindakan tegas turut diambil ke atas ejen penghantaran yang lazimnya melakukan kesalahan mengikrar komoditi rokok sebagai komoditi lain.

Mengulas lanjut, sebanyak 30 syarikat sudah digantung lesen dan dihalang menjalankan aktiviti sebagai agen penghantaran, sekali gus tindakan itu dijangka memberi impak besar, aspek mengekang aktiviti penyeludupan rokok di negara ini.


LIM Guan Eng

Berkenaan pencegahan unsur kawtim, beliau berkata, sistem e-penempatan dilaksanakan untuk mengurus pusingan penempatan pegawai dan anggota JKDM bagi memastikan mereka tidak bertugas terlalu lama di sesuatu tempat.

“Melalui sistem ini, pegawai dan anggota yang dikenalpasti bermasalah tidak akan ditugaskan di lokasi panas. Ini untuk mengelakkan mereka terdedah kepada unsur tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKDM seluruh negara dimantapkan sebagai sebahagian strategi jangka panjang dalam usaha meningkatkan kutipan hasil negara.

Menurutnya, kajian semula sudah dimulakan bagi mengkaji penyusunan semula struktur organisasi JKDM ke arah pendekatan pengurusan berpusat (zoning).

“Turut dikaji adalah keperluan mengoptimumkan sumber manusia yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan JKDM. Buat permulaan, penstrukturan Zon Tengah yang meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah berkuat kuasa 6 Ogos 2018.

“Kuasa yang selama ini berpusat kepada Pengarah Kastam Negeri masing-masing sudah diagihkan mengikut fungsi Bahagian di bawah pentadbiran Zon,” katanya.


ANTARA rokok seludup yang dirampas pihak berkuasa dan bot yang disita.

Skuad Khas Harian Metro yang menyiasat mengenai kegiatan penyeludupan rokok selepas mendapat maklumat awam mendapati berlakunya unsur kawtim antara pihak berkuasa dan sindiket hingga menyebabkan kegiatan haram itu terus lama berlanjutan.

Susulan itu, akhbar ini menyiarkan secara bersiri pendedahan berhubung kegiatan ‘underground’ sindiket terancang itu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5 bilion setahun.

Untuk rekod, kutipan duti/cukai yang berjaya dikutip oleh pihak JKDM bagi komoditi rokok dan tembakau bagi 2017 adalah RM3.5 billion.


LAPORAN Harian Metro 26 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 11:34 AM