POLIS menunjukkan senapang yang dirampas daripada suspek.
Shamsul Kamal Amarudin


POLIS menahan seorang lelaki berusia 40-an dan merampas dua selaras senapang patah buatan sendiri di sebuah bangsal bersebelahan rumahnya di Kampung Sungai Suli Dalam, Sungai Tungku, dekat Teluk Intan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, ketika serbuan, suspek yang bekerja sebagai buruh cuba melarikan diri, namun dia diberkas bersama selaras senapang patah.

Katanya, siasatan lanjut di bangsal itu turut menemukan selaras lagi senapang patah buatan sendiri menjadikan keseluruhan dua senapang patah ditemui.

“Turut dirampas ialah plastik lut sinar mengandungi 14 butir peluru penabur warna hijau bertulis 70 IME MEGA OOB, satu butir peluru penabur warna biru dan satu kelongsong peluru penabur warna biru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Marzhuki berkata, beberapa peralatan termasuk yang dipercayai digunakan untuk membuat senapang patah seperti termasuk tiga udi kayu, sebatang laras besi, mesin penebuk lubang dan pemotong besi, gergaji besi dan pemutar skru turut ditemui.

Beliau berkata, ujian awal air kencing lelaki itu didapati positif dadah methamphetamine, selain didapati mempunyai sembilan rekod jenayah.

Katanya, suspek direman pada Jumaat lalu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 dan 8A Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 2:36 PM