ANTARA kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

KUMPULAN terakhir seramai 500 jemaah haji Malaysia selamat berlepas ke Tanah Suci malam ini untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Serentak itu, pengurusan haji di Kompleks Tabung Haji (TH) di Putrajaya, ditutup menandakan berakhir proses haji bagi musim 1439H/2018.

Pengarah Operasi Kompleks TH Sepang, Mohd Syawal Abong berkata, proses terakhir pendaftaran membabitkan 500 jemaah haji yang berlepas dari tanah air ke Tanah Suci pada jam 11.25 malam dengan pesawat XY5744 Arab Saudi ke Jeddah.

Menurutnya, serentak dengan itu, TH juga menamatkan operasinya membabitkan lapan lapangan terbang utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

Katanya, operasi terakhir TH itu adalah penerbangan ke-81 sewa khas digunakan membabitkan 40 pesawat Malaysia Airlines Berhad dan 41 pesawat Flynas.

Beliau berkata, kuota haji pada tahun ini masih kekal seperti tahun lalu iaitu seramai 30,200 orang dengan penerbangan balik bermula 29 Ogos hingga 25 September.

Sementara itu, pesara tentera, Mohd Fadzuri Masudoki, 52, dari Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, bersyukur dipilih TH ke Tanah Suci dengan penerbangan terakhir selepas tiga kali membuat rayuan.

Menurutnya, dia juga berterima kasih kepada TH kerana isterinya, Zarina A Rahman, 49, turut terpilih dan berpeluang menyertai kursus khas anjuran TH bagi jemaah yang menerima tawaran terakhir.

“Saya tidak sabar untuk sampai dan beramal di Tanah Suci kerana sudah menunggu lama peluang sebegini dan sepatutnya giliran saya pada 2024,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 7:32 PM