Abdul Hadi menyampaikan watikah calon kepada Dr Halimah malam ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Hidayatul Akmal Ahmad


PAS malam ini mengumumkan Dr Halimah Ali sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Pengumuman dibuat Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang pada majlis pengisytiharan calon PRK Seri Setia di Desa Mentari di Petaling Jaya.

Sementara itu, Dr Halimah berkata, ini adalah kali kelima baginya bertanding mewakili parti itu.

“Saya yakin kita perlu memberikan suara rakyat yang kuat kepada Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Kita perlu memberi suara dan isyarat yang kuat kepada kepimpinan negeri dan pusat kerajaan Pakatan Harapan," katanya.

Dr Halimah adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Balakong dan Seri Setia diadakan serentak pada 8 September dengan hari penamaan calon ditetapkan 18 Ogos dan hari mengundi awal 4 September ini.

PAS sebelum ini tidak meletak calon pada PRK DUN Sungai Kandis, 4 Ogos lalu selepas UMNO membuat keputusan bertanding.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, dATUK Takiyuddin Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 12:06 AM