Murni Wan Omar


EMPAT perunding insurans masing-masing dikenakan hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, hari ini kerana didapati bersalah memungut zakat tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hisham Dahalan, 50, Siti Nurul Hayati Ithnin, 41, Rosilah Osman, 53, dan Waheeda Muhamad, 51, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira semua aspek dan paling penting adalah objektif hukuman memenuhi hukum syarak.

“Hukuman perlu berbentuk peringatan, mendidik dan pengajaran kepada pesalah. Saya dimaklumkan ini adalah kesalahan pertama mengutip zakat tanpa kebenaran di Wilayah Persekutuan.

“Selepas membuat pertimbangan, mahkamah tidak dapat menerima rayuan meringankan hukuman oleh semua tertuduh.

“Semua tertuduh terselamat daripada hukuman penjara, bagaimanapun mahkamah tidak akan teragak-agak menjatuhkan hukuman penjara jika kesalahan yang sama berlaku lagi,” katanya.


ANTARA tertuduh yang juga perunding insurans masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur atas pertuduhan cuba memungut zakat tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Foto NSTP/ASWADI ALIAS.

Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada setiap tertuduh dan mereka boleh dikenakan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayarnya.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa membuat promosi pungutan zakat melalui potongan gaji sedangkan mereka bukan amil atau orang diberikan kuasa oleh MAIWP.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di ruang legar tingkat lima, Menara Kembar Bank Rakyat, Brickfields pada jam 2.59 petang, 6 Mac 2017.

Bagi perbuatan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 47(1)(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang dibaca bersama Seksyen 33 Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda maksimum RM3,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam dan memohon dikenakan hukuman ringan atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 2:38 PM