Sanak saudara menemani jenazah yang terbabit dalam kemalangan sebuah kereta Produa Axia yang merempuh bahagian belakang kereta Proton Wira di Kilometer 304, Lebuh Raya Pantai Timur2 LPT2. FOTO Rosli Ilham


“SAYA berlari keluar dari kereta selepas mendapati kedua-dua kanak-kanak itu tercampak keluar dari kereta. Saya cuba membantu namun kedua-dua mereka sudah tidak bergerak.”

Demikian kongsi Muhammad Izaruddin Rossaidi, 27, yang menyaksikan kemalangan meragut nyawa dua beradik dan seorang wanita di di Kilometer 304, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat susur keluar Plaza Tol Kijal, pagi tadi.

Muhammad Izaruddin berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Dungun ke Kemaman sebelum terserempak dengan kemalangan itu.

“Saya meletakkan kedua-dua beradik itu di tepi dan meminta orang ramai segera menghubungi Hospital Kemaman untuk bantuan ambulans supaya mereka dapat diselamatkan.

“Namun saya sedih apabila mendapati mereka tidak bergerak lagi dan jelas kelihatan mata kedua-dua mereka berair seolah-olah menahan sakit sebelum pergi,” katanya.

Beliau berkata, ketika itu ibu kanak-kanak terbabit, Hnan Ismail, 23, dan suaminya, Lukman Waeni, 31, masih berada di dalam kereta yang remuk teruk dan turut dibantu keluar daripada kenderaan itu oleh orang awam.

“Penumpang belakang sebuah lagi kereta turut dibawa keluar orang ramai dan sudah tidak bernyawa,” katanya.

Dalam kemalangan itu, anak pasangan berkenaan, Wedad Abdullah, 3, dan Weaam Lukman, lapan bulan, maut di lokasi kejadian, selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka yang berhenti di lorong kecemasan dirempuh kereta Perodua Axia dinaiki seorang lagi mangsa yang maut, Haznah Ali, 59.

Kemalangan kira-kira jam 11.15 pagi itu turut menyebabkan suami Haznah, Mohd Shahimi Jusoh, 62, serta dua anak mereka, Muhamad Abdulqayum, 20, dan Nur Syazwani Fitriah, 22, cedera ringan.

.

Berita berkaitan:Tragedi lorong kecemasan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 7:27 PM