ANGGOTA polis berkawal di luar Dewan Demesne Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N27 Balakong. FOTO Rosela Ismail
ANGGOTA polis berkawal di luar Dewan Demesne Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N27 Balakong. FOTO Rosela Ismail
Hasbi Sidek


SERAMAI 463 anggota dan pegawai polis ditempatkan di sekitar pusat penamaan calon PRK Balakong, di Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Langat, Persiaran Pusat Bandar 1, Kawasan Perusahaan Bangi, Bandar Baru Bangi, hari ini.

Mereka bersiap sedia di lokasi sejak 5 pagi bagi melancarkan tugas selain mengosongkan jalan di hadapan pusat penamaan calon berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, kawasan di sekitar pusat penamaan calon dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon A dan Zon B bagi parti berbeza.

"Seramai 463 anggota polis dikerahkan ke pusat penamaan calon hari ini. Mereka dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota Unit Tempur Ringan (LSF) yang bersiap sedia jika berlaku kekecohan.

"Kami sudah berada di lokasi sejak 5 pagi bagi memastikan perjalanan penamaan calon hari ini berjalan lancar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan di lokasi mendapati penyokong calon MCA berkumpul di Persiaran Kemajuan, manakala penyokong PH-DAP berkumpul di Persiaran Bandar.

Mereka kemudian dilihat bergerak ke lokasi pusat penamaan calon secara aman kira-kira 9 pagi.

PRK Balakong menyaksikan MCA mencadangkan Tan Chee Teong, manakala Wong Siew Ki mewakili DAP sebagai calon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 9:45 AM