SENJATA yang ditemui di rumah suspek.
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my

Serian: Serbuan polis di sebuah rumah di Taman Anggerik Indah di sini Khamis lalu, menemui sejumlah senjata api.

Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian selepas suspek berusia 21 tahun ditahan di pekarangan pejabat Trafik IPD Serian pada jam 10.40 pagi kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, pemeriksaan terhadap suspek selepas dia ditahan di pejabat trafik itu menemui satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine di dalam beg pinggang seberat 0.84 gram.

Beliau berkata, saringan air kencing terhadap suspek kemudian mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine.

“Pasukan serbuan dari BSJ Narkotik Serian kemudiannya membuat pemeriksaan lanjutan di rumah lelaki itu di Taman Anggerik Indah, Serian.

“Kali ini lebih mengejutkan apabila 10 laras senjata api iaitu lapan senapang angin dan dua laras senapang patah buatan sendiri ditemui di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya.

Aswandy berkata, turut ditemui 20 kotak kecil berisi pellet dipercayai peluru senapang angin yang diletakkan di atas rak besi di dalam bilik itu.

“Suspek kemudian dibawa balik ke IPD Serian untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan lanjut juga dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 untuk mengenalpasti motif lelaki itu menyimpan sejumlah senjata,”katanya.

Dalam kes berasingan pada jam 12.55 tengah malam semalam, anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Serian menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di Tarat.

“Pemeriksaan terhadap beg sandang bercorak celoreng yang dipakai oleh suspek menjumpai satu beg kecil berzip warna kebiruan yang didalamnya ada lapan keratan straw tiub berwarna kebiruan masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.94 gram.

“Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 3:49 AM