Highland Towers sudah terbiar sejak 25 tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
Siti Nur Mas Erah Amran

HIGHLAND Towers yang terbiar sejak 25 tahun lalu bakal dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ia memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Menurutnya, beliau sudah bertemu dengan Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers sebanyak lima kali.

"Kita sudah kenal pasti pemilik hartanah dan kini sedang dalam fasa untuk menguruskan isu berkaitan perundangan.

"Kita putuskan untuk usulkan cadangan pembinaan taman rekreasi memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembangunan dan pembinaan perumahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Inisiatif Girl2Leader Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, pembinaan taman rekreasi itu bakal memanfaatkan penduduk sekitar Ampang.

"Bagaimanapun, pelan ini masih dalam perancangan dan masih diperhalusi butirannya.

"Insya-Allah... saya akan luluskannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 3:03 PM