IBU, Lee Saw Wan, 60, (kiri) dan bapa, Tan Kim Huat, 65, melihat risalah manifesto anak mereka, Calon MCA DUN Balakong N.27, Tan Chee Teong untuk Pilihan Raya Kecil Balakong di Bilik Gerakan MCA Balakong.
Fahmy Azril Rosli

Balakong: Calon MCA, Tan Chee Teong mengetengahkan lima teras dalam manifesto khas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong.

Beliau berkata, lima teras itu menyentuh soal jalan raya, sistem perparitan, keamanan dan keselamatan, pelupusan sampah dan pengangkutan awam.

“Pertama, saya menggesa kerajaan membina jalan raya, jejambat dan lebuh raya bertingkat untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.

“Kedua, saya menggesa kerajaan menyelesaikan masalah perancangan perparitan yang lemah dan tersumbat untuk mengelak berlaku banjit kilat.

“Ketiga, saya menggesa kerajaan mewujudkan masyarakat yang selamat dengan penubuhan pejabat polis daerah untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya ketika membentangkan manifesto di Bilik Gerakan MCA Balakong di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda, Datuk Chong Sin Woon.

Menyentuh teras keempat, Chee Teong yang juga anak jati Balakong menggesa kerajaan membina pusat pelupusan sampah berintegrasi untuk menyelesaikan masalah longgokan sampah.

Bagi teras kelima pula, beliau menggesa kerajaan menambah laluan bas pintar berdasarkan keperluan penduduk tempatan.

“Oleh itu, jika saya dipilih...saya menjamin tidak meninggalkan tempat ini atau mengabaikan penduduk Balakong.

“Jika kamu (rakyat) hadapi apa-apa masalah atau ingin meluahkan suara hati anda, saya sentiasa senang dicari serta mudah dihubungi.

“Sebagai anak jati Balakong, saya tidak mengabaikan tempat dan rakyat di sini kerana saya betul-betul arif dengan tempat serta penduduk tempatan sehingga sanggup mengorbankan masa saya,” katanya.

Pada majlis sama, Chee Teong turut membentangkan janji di peringkat nasional jika memenangi PRK Balakong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 11:19 AM