Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Memburu tikus menggunakan penyauk khas ditempatkan di lokasi pembuangan sampah dan lorong gelap kawasan pasar besar, di sini, adalah antara aktiviti ‘menggelikan’ dilalui 29 peserta kursus kawalan tikus.

Bagaimanapun ‘ujian’ itu dianggap berjaya apabila peserta kursus melupuskan sebanyak 23 tikus yang berkeliaran.

Peserta, Fatin Norsyafiqa Mohamad Ruhaidir, 24, yang bertugas dengan Majlis Daerah Lipis (MDL) berkata, pengalaman yang dikumpul sepanjang kursus akan digunakan untuk membasmi haiwan perosak terbabit di bandar Lipis.

Menurutnya, inovasi yang digunakan kakitangan unit tikus Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menggunakan penyauk khas untuk menangkap tikus dianggap menarik tanpa memerlukan perbelanjaan besar.

Katanya, tikus bersaiz besar yang banyak terdapat di kawasan bandar mudah ditangkap menggunakan penyauk khas berikutan mamalia perosak itu keluar mencari makan pada waktu malam di kawasan tong sampah.

“Aktiviti menangkap tikus menggunakan penyauk khas hanya dilakukan pada waktu malam, mamalia terbabit akan masuk ke dalam penyauk yang diletakkan pada laluan serta lubang sarangnya.

“Saya lihat aktiviti menangkap tikus yang keluar mencari makan pada waktu malam menjadi lebih mudah apabila tugas itu dilakukan secara berkumpulan antara empat hingga lima orang,” katanya di sini, kelmarin.

Rakannya, Yusra Syahirah Kamaruddin, 25, berkata, aktiviti menangkap tikus menggunakan penyauk khas boleh dilakukan pekerja wanita yang hanya memerlukan sedikit kemahiran dan tidak terlalu geli dengan mamalia itu.

“Saya yakin boleh melakukannya sekiranya diberi peluang kerana aktiviti itu tidak terlalu membebankan, berbekalkan semangat dan keyakinan tugas berkenaan pasti dapat dilakukan dengan sempurna.

“Saya berharap kaedah menangkap tikus menggunakan penyauk khas dapat dikembangkan kepada kakitangan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang sebelum ini berhadapan ancaman mamalia perosak itu,” katanya.


PESERTA kursus kawalan tikus berjaya memerangkap 23 tikus pada aktiviti menangkap tikus di kawasan pasar besar Kuantan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Che Saipolliza Derman berkata, tujuan utama kursus kawalan tikus bagi pihak berkuasa tempatan yang kali pertama diadakan ialah untuk memberi pendedahan dan kemahiran kepada peserta.

Katanya, kursus anjuran Jabatan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama MPK disertai pegawai pihak berkuasa tempatan zon timur berharap teknik itu dapat diperluaskan.

“Banyak kebaikan menggunakan penyauk khas untuk menangkap tikus antaranya tidak memerlukan perbelanjaan besar bagi membeli racun selain menjimatkan tenaga kerja dan dapat mengawal pencemaran.

“Dengan adanya kursus kawalan tikus ini saya berharap semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) zon timur selepas ini dapat menggunakan penyauk khas yang diperkenalkan MPK untuk aktiviti menangkap tikus di daerah dan negeri masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:26 AM