LAPORAN portal berita Harian Metro, malam tadi mengenai bayi berkenaan yang tidak sedarkan diri dan dirawat di HTJS sejak Isnin lalu.
Nur Aqidah Azizi
nur@nstp.com.my


POLIS sudah menahan pengasuh yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang kritikal akibat pendarahan dalam otak serta mata dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata wanita berusia 23 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, 8.45 malam tadi.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, malam tadi.

Sebelum ini, media media melaporkan bayi lelaki, Muhammad Ummar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz kini kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya, Isnin lalu.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, ketika dihubungi berkata, anak tunggalnya itu mula dihantar ke rumah pengasuh yang dikenali melalui laman Facebook (FB) kira-kira seminggu sebelum kejadian berlaku.

“Isnin lalu, saya menerima panggilan daripada pengasuh memberitahu anak saya tidak sedarkan diri.

“Suami segera mengambil anak kami dan menghantarnya ke HTJS untuk rawatan,” katanya.

Kejadian itu menjadi tular di FB, semalam apabila seorang lelaki mendakwa doktor turut menemui kesan lebam pada perut serta paha bayi berkenaan dan banyak pihak menyalahkan pengasuh terbabit yang disyaki menderanya.

Ditanya mengenai perkara itu, Zura Emilia berkata, dia tidak mengetahui kejadian itu menjadi tular serta enggan menyalahkan sesiapa buat masa ini dan menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Berita berkaitan

'Kenapa bayi kami koma?'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 12:02 AM