GAMBAR hiasan
Ifwan Tun Tuah


BERPURA-PURA mahu menunaikan solat Subuh di surau dan masjid sebelum mencuri barangan berharga daripada kereta jemaah, adalah modus operandi suami isteri di sekitar Seremban, Nilai dan Rembau, sejak November tahun lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pasangan yang masing-masing berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan pihaknya dalam satu serbuan di rumah mereka di Nilai dekat sini, kira-kira 12 tengah hari, 11 Ogos lalu.

"Siasatan mendapati, pasangan terbabit mensasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir masjid dan surau yang gelap pada waktu Subuh. Mereka menunggu sehingga semua jemaah bersolat sebelum bertindak.

"Suspek wanita yang kini mengandung lima bulan biasanya memerhatikan keadaan sekeliling, manakala suaminya yang memakai songkok kononnya mahu masuk bersolat, mengumpil cermin kereta dan mengambil barangan berharga," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek menjual barangan curi kepada individu dan kedai telefon terpakai dengan sebahagian wang digunakan untuk membeli bekalan dadah bagi kegunaan sendiri.

Katanya, susulan penahanan itu, pihaknya merampas kereta, pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah kenderaan selain beberapa beg tangan, komputer riba dan telefon bimbit yang disyaki barangan curi.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes pecah kereta, dengan 13 di Nilai dan masing-masing satu di Seremban dan Rembau susulan tangkapan suspek.

Noor Azam berkata, suspek lelaki mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala isterinya satu rekod, selain masing-masing mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Noor Azam berkata, pihaknya turut menumpaskan kumpulan dikenali sebagai Geng Rohingya yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Melaka, sejak lima tahun lalu.

Katanya, kejayaan itu susulan penahanan empat lelaki serta seorang wanita Rohingya berusia antara 20 hingga 25 tahun di Ampang dan di sini, pada 26 Julai lalu, sekali gus menyelesaikan sekurang-kurangnya 11 kes pecah rumah.

Dalam kes berasingan, katanya, dua lelaki berusia 25 dan 32 tahun, ditahan pada 16 Ogos lalu di hotel bajet di Nilai, dekat sini, kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun warga asing di sekitar Port Dickson dan Seremban.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek yang mensasarkan warga asing mendakwa diri sebagai polis sebelum menyamun mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 1:57 PM