ARIFFIN memberikan penerangan kepada sukarelawan EPANCO.
ARIFFIN memberikan penerangan kepada sukarelawan EPANCO.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Jujur, taat, setia dan berdisiplin. Tema itu digunakan Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO) dalam usaha melahirkan generasi baru yang suka membantu orang lain.

Menerusi pendekatan itu, ia secara tidak langsung berperanan membentuk keperibadian remaja supaya tidak terbabit dalam aktiviti tidak sihat seperti gengsterisme.

Pengasasnya Ariffin Abu Bakar berkata, sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, fokus EPANCO ialah memastikan remaja terutama pelajar sekolah tidak tersasar dan memilih jalan hidup salah.

Katanya, EPANCO mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk program kepimpinan untuk berkongsi pengalaman kepada remaja khususnya berkaitan keburukan gengsterisme.

EPANCO bersama agensi berwajib pada satu program pemukiman.
EPANCO bersama agensi berwajib pada satu program pemukiman.

“Kami bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Persatuan Anak Muda Islam Malaysia (AMIM) untuk menganjurkan forum kepada golongan remaja berkaitan dunia gengsterisme untuk membentuk jati diri anak muda supaya lebih mencintai negara.

“Setakat ini EPANCO menarik minat lebih 100 ahli terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang bersama-sama berganding bahu membentuk masyarakat berakhlak mulia.

“Banyak program bercorak kemasyarakatan seperti menyantuni gelandangan dan khidmat sosial berkelompok yang berkesan sudah kita jalankan.

“Selain sebagai sukarelawan, EPANCO mahu membantu remaja tercicir supaya terbabit dalam aktiviti ekonomi menerusi perniagaan sekali gus memperoleh pendapatan sampingan,” katanya.

Ariffin berkata, EPANCO juga bekerjasama dengan polis dan agensi berwajib melakukan rondaan cegah jenayah demi mengurangkan kadar jenayah di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 11:35 AM
Digital NSTP Subscribe