Shahrinnahar Latib


HASRAT ahli perniagaan untuk memiliki tanah bagi menjalankan projek ternakan udang musnah, malah menanggung kerugian hampir RM500,000 selepas diperdayakan lelaki bergelar Datuk.

Kejadian bermula pada tahun 2013 apabila suspek lelaki itu menjemput mangsa berusia 50 tahun untuk menandatangani satu surat akuan bagi permohonan tanah kerajaan untuk projek penternakan udang di Sungai Buah Beras, Rompin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM300,000 bagi mendapatkan tanah berkenaan dan sekiranya permohonan gagal wang itu akan dipulangkan semula.

"Mangsa kemudian membuat bayaran berkenaan, namun pada tahun 2015 dan mangsa menghubungi suspek untuk mengetahui status permohonan dan difahamkan tanah berkenaan sudah diberikan kepada orang lain," katanya dalam satu kenyataan media, di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas itu, suspek menjanjikan tanah lain yang terletak di Mukim Penor, di sini, sebagai gantian tanah di Rompin yang dijual kepada orang lain.

"Namun suspek meminta mangsa menambahkan bayaran sebanyak RM190,000. Mangsa kemudian membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.

"Akaun bank berkenaan dipercayai milik anak kepada suspek dan wang tambahan itu adalah bagi mendapatkan tanah di Mukim Penor berkenaan," katanya.

Mohd Wazir berkata, setelah membuat bayaran, mangsa ada menghubungi suspek beberapa kali untuk mengetahui status permohonan tetapi tidak menjawab.

"Mangsa yang menyedari ditipu datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam untuk membuat laporan polis. Jumlah keseluruhan wang yang diserahkan oleh mangsa kepada suspek adalah sebanyak RM490,000," katanya.

Katanya, modus operandi suspek adalah dengan menawarkan tanah tidak wujud bagi projek penternakan udang sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang.

"Kita sudah mengambil keterangan mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 11:08 AM