Misha menyampaikan persembahan pada Konsert Gegaria #KitaPunya di perkarangan Istana Kehakiman. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Syafil Syazwan Jefri

SERAMAI 28,000 pengunjung tidak berganjak menyaksikan Konsert Gegaria #KitaPunya yang berlangsung di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, malam ini.

Bertemakan patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61, konsert itu adalah acara kemuncak untuk Festival Gegaria yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Ogos hingga 2 September 2018.

Seawal jam 7 malam, pengunjung sudah mula memenuhi perkarangan parkir untuk mendapatkan ruang terbaik untuk menonton konsert yang bermula jam 9 malam.

Lebih mengujakan pengunjung turut mengikut rentak irama penyanyi kegemaran mereka beraksi di pentas menjadikan konsert itu gamat.

Faizal Tahir yang membuka pentas sebagai penyanyi pertama mempersembahkan tiga lagu popularnya iaitu Malaysia, Assalamualaikum dan Gemuruh serta satu lagu baru, Ragaman.

Faizal berkata, respon penonton memberi semangat buatnya untuk memberikan persembahan terbaik.

“Saya sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada acara besar ini. Walaupun menjengah usia 40 tahun, saya masih diterima oleh pengunjung yang rata-rata terdiri daripada generasi muda,” katanya kepada Harian Metro.

Dihoskan Ajak Shiro dan Muaz Kool FM, GegaRia yang juga sebahagian daripada kempen #KitaPunya anjuran Media Prima Berhad turut dimeriahkan artis popular lain termasuklah Wany Hasrita, Misha Omar, Kugiran Masdo, Stacy dan Bunkface.

Setiap penyanyi menyampaikan lagu-lagu popular mereka dan satu lagu patriotik bagi menunjukkan semangat patriotik dalam diri mereka.

Festival Gegaria kali ini terbahagi kepada lima zon utama iaitu #Kitapunya Concert, #KitaPunya Lifestyle, #KitaPunya Throwback Tunnel, #KitaPunya Esports, dan #KitaPunya Chillex.

Turut memeriahkan karnival ini adalah rakan-rakan kempen #KitaPunya seperti Sangeeta Krishnasamy, Ujang, Noh Salleh dan Bunkface.

Selain konsert, acara GegaRia Fest juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

Konsert Gegaria #KitaPunya disiarkan secara langsung di laman Facebook Harian Metro dan TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:32 AM