Zanariah Abd Mutalib


MAHKAMAH Majistret Putrajaya, hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid selama satu hari lagi bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan menyeleweng peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perintah reman sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Intan Syafinaz Ros'lin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap SPRM dan menutup muka tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 9.50 pagi, diiringi pegawai SPRM.

Kelihatan beberapa individu dipercayai ahli keluarga suspek yang menunggu di perkarangan mahkamah memeluk suspek sebaik saja beliau keluar dari kenderaan SPRM.

Suspek yang berusia 61 tahun sebelum ini direman lima hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan berkenaan. Dia ditahan sehari sebelumnya selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Suspek direman mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, Hasanah dikaitkan dengan dakwaan menghantar surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA).

Menerusi surat berkenaan, MEIO yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan JPM didakwa meminta Amerika Syarikat (AS) terus menyokong pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU-14.

Selasa lalu, seorang timbalan ketua pengarah bergelar Datuk serta enam pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan itu yang membabitkan nilai jutaan ringgit, namun dibebaskan semalam.

Semua individu terbabit menjawat Gred 44 hingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan berkhidmat di bahagian penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Difahamkan, timbalan ketua pengarah berkenaan adalah timbalan kepada Hasanah.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, memaklumkan, pihaknya mengesyaki RM49.5 juta (AS$12 juta) wang milik kerajaan diselewengkan susulan siasatan itu.

Katanya, sehingga kini pihaknya sudah merampas sejumlah RM27.6 juta dalam bentuk wang tunai RM980,000 dan AS$6.4 juta (RM26.4 juta).

Azam berkata, susulan penahanan lapan individu itu, pihaknya turut menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 47 tahun di Kelantan bagi membantu siasatan dan direman tujuh hari bermula Khamis lalu.

Berita berkaitan:

Datuk, PTD dibebaskan [METROTV]

RM49.5 juta wang kerajaan disyaki diseleweng [METROTV]

Datuk, enam PTD direman lima hari [METROTV]

TKP Datuk, enam PTD JPM direman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 11:41 AM
BEKAS Ketua Pengarah diiringi pegawai SPRM hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor