Luqman Arif Abdul Karim


MELANGKAH garisan penamat dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebaik tamat perlumbaan seakan sinonim untuk menzahirkan semangat patriotisme kepada negara.

Cuba menyuntik kelainan, pelari jarak jauh, Mohd Syahidan Alias ingin mencetuskan fenomena, selain mencongak nasib, apabila berhasrat mengubah dirinya menjadi ‘bendera manusia’ dan menghabiskan larian maraton sejauh 42 kilometer.

Lebih manis, percaturan untuk menempa nama dalam Guinness World Records itu bakal berlangsung pada tanggal 16 September ini, iaitu hari penubuhan Malaysia yang lazimnya jarang disambut ‘sehangat’ Hari Kebangsaan.

Syahidan atau mesra disapa dengan panggilan Edan Syah berkata, peluang untuk melakar nama dalam sejarah itu hanya wujud menerusi dua penganjuran maraton, masing-masing di London dan Sydney.

"Bagaimanapun, peluang untuk menyertai maraton di London sukar kerana ia perlu melalui proses undian, berbanding Sydney yang memperuntukkan syarat permohonan lebih longgar.

"Tanggal 16 September ialah hari yang perlu diingati oleh semua rakyat Malaysia, susulan kesepakatan yang dicapai menerusi gabungan antara Sabah, Sarawak dan Singapura ketika itu.

"Saya ada ramai kawan dari Sabah dan Sarawak yang jauh di benak mereka rasa terpinggir apabila masyarakat lazimnya lebih memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

"Oleh itu, saya ingin cuba ‘hidupkan’ semangat Malaysia pada hari berkenaan dengan menghabiskan larian maraton sambil mengenakan pakaian khas Jalur Gemilang," katanya kepada NSTP.

Anak jati Kuala Terengganu yang mula menempa nama dalam sukan maraton itu meletakkan harapan menghabiskan larian dalam tempoh tiga jam 29 minit, berbanding rekod terdahulu, iaitu tiga jam 45 minit.

Beliau berkata, antara cabaran yang terpaksa diharungi ialah kemungkinan pakaian itu mengganggu momentum dan pergerakan ketika larian, selain masalah rintangan tinggi terhadap angin.

"Bayangkan, kostum itu tidak ubah seperti Jalur Gemilang mengikut saiz badan saya, justeru langkah dan ayunan tangan pasti terhad sehingga menjejaskan rentak larian.

"Oleh itu, saya harap pakaian itu dapat disiapkan dalam tempoh terdekat supaya cukup masa untuk menjalankan latihan dan menyesuaikan diri, selain menepati sasaran masa yang ditetapkan," katanya.

Edan, 31, berkata aspek pemakanan dan kandungan air dalam badan penting menjelang acara maraton sempena Festival Larian Blackmores Sydney 2018, dekat New South Wales, Australia itu.

Katanya, kerisauan ketika ini lebih terarah kepada ketebalan pakaian yang ditempah khas itu kerana ia berupaya menjejaskan rintangan pernafasan ketika larian.

"Saya juga sedikit gelisah dengan kelulusan reka bentuk pakaian khas itu kerana dua lukisan kasar yang dihantar ke Guinness World Records sebelum ini ditolak angkara tidak menepati garis panduan ditetapkan.

"Semua cabaran dan masalah ini, termasuk melengkapkan latihan terpaksa saya selesaikan dalam tempoh kurang daripada tiga minggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:14 PM
MOHD Syahidan ketika sesi latihan di Subang. FOTO Sairien Nafis
MOHD Syahidan ketika sesi latihan di Subang. FOTO Sairien Nafis