GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


AIR ketum yang tidak boleh dikesan menerusi ujian air kencing, menyebabkan pengambilannya dalam kalangan pelajar di Kelantan semakin serius.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rahayu Ahmad, berkata sehingga Ogos tahun ini, 1,026 pelajar mengakui mengambil air ketum.

Katanya, pengambilan bahan larangan itu semakin serius tahun ini, berbanding rekod sepanjang tahun lalu yang hanya babit 790 pelajar.

“Berdasarkan soal siasat kami, kebanyakan pelajar mengambil ketum kerana kos yang rendah iaitu RM10 sepaket, namun boleh dikongsi sehingga empat rakan berbanding pil kuda.

“Malah faktor utama mereka mengambil air ketum kerana mereka tahu bahawa kandungan ketum sukar dikesan walaupun menerusi ujian air kencing.

“Mereka yakin tidak melakukan kesalahan dan sesiapa saja tidak akan menangkap mereka kerana ujian air kencing adalah negatif,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Terus Bangkit Memerangi Dadah kepada Pengetua Sekolah di Kota Bharu, hari ini.


RAHAYU (kanan) bersama barisan panel berbicara mengenai pengambilan air ketum di kalangan pelajar pada Seminar Terus Bangkit Memerangi Dadah Kepada Pengetua Sekolah. FOTO Syamsi Suhaimi

Seminar itu membabitkan 77 pengetua sekolah daripada beberapa daerah termasuk Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat.

Rahayu berkata, cecair ketum sahaja tidak boleh dikesan menerusi ujian air kencing, melainkan jika mencampurkannya dengan dadah lain.

Namun katanya, perlu diingat bahawa pengambilan ketum secara berterusan boleh memberi kesan kepada pembelajaran dan kerosakan hati serta buah pinggang.

“Ini kerana mereka yang mengambil air ketum semestinya, akan meningkatkan kuantiti minuman sehingga rasa khayal.

“Justeru, kita menasihati guru dan ibu bapa yang mengesan anak mereka terbabit dengan penyalahgunaan dadah supaya memaklumkan kepada kami dan boleh mendapatkan rawatan di klinik Cure & Care (C&C) AADK, Pengkalan Chepa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 4:58 PM