KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini melepas dan membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah dilihat sebagai tindakan berkepentingan.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, Tommy Thomas adalah salah seorang peguam yang terbabit dalam pihak pembelaan kes itu sebelum beliau dilantik sebagai Peguam Negara.

“Walaupun yang mengendalikan kes ini adalah Peguamcara Negara, Tommy Thomas adalah pegawai tertinggi di Jabatan Peguam Negara dan pegawai atasan kepada Peguamcara Negara.

“Keputusan Jabatan Peguam Negara hari ini untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Lim memberi gambaran bahawa ia adalah salah satu keputusan yang ada elemen konflik kepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media PAS PRK Seri Setia di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Selangor, Seksyen 13.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali.

Idris turut mencabar agar Thomas meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara berikutan sebelum ini beliau dilihat sebagai seorang yang mempunyai integriti yang tinggi.

Beliau berkata PAS turut menegaskan bahawa SPRM perlu mendapat autonomi atau kebebasan dalam menyiasat dan mendakwa sebarang kes rasuah di Malaysia.

“Kenyataan SPRM hari ini yang seolah-olah terkejut dengan keputusan Jabatan Peguam Negara pada hari yang sama, seolah-olah keputusan tersebut bercanggah dengan siasatan dan saranan SPRM bagi kes ini.

“PAS berharap bahawa prinsip kedaulatan undang-undang dan layanan adil melalui sistem kehakiman bagi semua individu di Malaysia perlu ditegakkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pakatan Harapan (PH).

“Jangan hanya sekadar janji retorik politik semata-mata seperti mana janji-janji manifesto PH lain yang tidak dipenuhi setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, PAS tetap menekankan bahawa keadiłan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi keadilan juga perlu kelihatan seperti dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 10:59 PM