PENGUNJUNG menjamu selera di Kedai Kopi Keretapi.
Nurul Amanina Suhaini

Kluang: Nasi lemak dan secawan kopi di Kluang Rail Coffee atau dikenali Kedai Kopi Keretapi yang wujud dekat sini sejak 80 tahun lalu mampu menyuntik semangat kemerdekaan dan perpaduan kaum.

Pemandangan tiga kaum bersama-sama minum dan makan di sebuah meja juga menjadi situasi biasa, malah hingga kini kedai kopi yang terletak betul-betul di tepi landasan kereta api itu mengekalkan suasana sama seperti awal dahulu.

Apa yang dilakukan pengusahanya, Lim Jit Chen, 65, semata-mata untuk menzahirkan rasa cinta pada tanah air dengan mengekalkan kedai lama yang bercirikan tradisional tanpa dekorasi indah, di samping menawarkan keaslian menu zaman dahulu.

Jit Chen atau lebih mesra disapa sebagai Uncle Jack berkata, kedai kopi yang sudah beroperasi dari 1938 itu menerima pelanggan daripada pelbagai kaum malah ada juga yang datang dari negeri lain dan mereka tidak kisah duduk semeja walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

Katanya, tempat itu tidak diusik langsung malah dikekalkan kerana antara sebabnya merasakan ia menyimpan nostalgia.

“Dahulu, ketika moyang saya masih hidup, dia kena paksa untuk serve sebagai peniaga kantin untuk bagi makan kepada tentera British.

“Zaman perang dahulu, British bangunkan satu bandar dan di situlah terletaknya pejabat pos, stesen kereta api. Apa saja yang berkaitan dengan komunikasi dan pengangkutan, ia berhampiran sesama sendiri.

“Apabila kita buka kantin, pelanggan bukan saja askar, tetapi dari pelbagai latar belakang. Menu yang disukai masih sama seperti dahulu iaitu roti bakar, kopi, telur separuh masak, teh, nasi lemak.

Walaupun ada berhasrat untuk mengikut peredaran zaman, namun tarikannya masih sama kerana pengunjung mahukan menu klasik yang mudah dimakan,” katanya.


JIT Chen (tengah) bersama anaknya, Lim Ben Winn (kanan) dan pekerja di Kedai Kopi Keretapi.

Katanya, kedai kopi itu yang menyambut tahun ke-80 kewujudannya mempunyai semangat kemerdekaan secara semula jadi dalam kalangan pengunjungnya.

“Dahulu, menu yang dihidangkan biasa saja. Ketika zaman 50-an dan 60-an, kedai ini pernah menghidangkan kopi kole atau teh kole yang dibungkus dalam tin susu sebagai kemudahan kepada orang ramai yang ingin membawa pulang ketika dalam perjalanan di dalam kereta api.

“Zaman sudah berubah. Tempat yang sama namun situasinya sudah berbeza. Di sini ada 35 meja. Satu meja hanya muat empat orang tetapi waktu kemuncak seperti hujung minggu, boleh muat sehingga 10 orang. Nak merasa duduk bersama orang tidak dikenali, di sini tempatnya.

“Sempena 80 tahun penubuhan kedai ini bukan dari pencapaian kami sendiri, sebaliknya sokongan dan pencapaian semua pihak. Nombor lapan adalah nombor bertuah dan bulan ini juga kita menyambut Hari Kebangsaan dan diharap semangat muhibah sesama masyarakat berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:15 AM