EMANINA (tengah) bersama Maizura dan Mohd Zain selepas menerima bantuan di rumah keluarganya di Seremban, hari ini. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


“WALAUPUN anak saya tidak normal seperti remaja lain, tetapi dia adalah anugerah terindah Allah berikan kepada kami sekeluarga,” kata Maizura Yaakob, 41.

Maizura dari Taman Eka Matahari, Seremban, berkata hasil perkongsian hidup dengan suami Mohd Zain Yaacob, 43, mereka dikurniakan dua cahaya mata di mana anak bongsu, Nor Emanina, 19, menghidap penyakit Celebral Palsy (CP) atau lumpuh otak.

Menurutnya, anaknya disahkan menghidap penyakit itu selepas diserang sawan akibat demam panas ketika berusia tiga tahun hingga tidak boleh bercakap dan menguruskan diri.

Katanya, dia terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya kepada Emanina yang memerlukan penjagaan rapi sejak bayi lagi.

“Ketika masih bayi, anak saya kerap demam panas menyebabkan saya perlu menjaganya sepenuh masa sehingga kadang-kadang tidak dapat tidur nyenyak kerana bimbang dia diserang sawan.

“Selepas menjangkau usia 10 tahun, dia kurang demam dan tidak sukar lagi untuk menjaganya. Namun, saya masih perlu menjaganya kerana dia tidak mampu menguruskan diri,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Maizura ditemui selepas menerima sumbangan lampin pakai buang daripada Pasaraya Family Store dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.

Menurutnya, suaminya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu bagi menampung kos kehidupan mereka dan perubatan anaknya itu.

“Emanina yang berstatus orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan JKM sebanyak RM250 sebulan, tetapi tidak cukup bagi menampung kos penjagaannya termasuk membeli lampin pakai buang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu Ismail Ahmad berkata, beliau akan berusaha membantu keluarga terbabit termasuk mempertimbangkan bantuan lain yang sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 9:19 PM