ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat Mohd Salimi Mohd Razali, 34, berasal di Rancangan Tanah Felda Chiku 1 yang maut tersepit di tempat duduk kereta Proton Wira yang dipandunya selepas bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, petang semalam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PEKERJA balak maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, semalam.

Mohd Salimi Mohd Razali, 34, berasal di Rancangan Tanah Felda Chiku 1, tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, dalam kemalangan pada 4.30 petang itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda, Muhamad Aifa Abdul Halim, 35, dan penumpangnya, Mohd Zamri Mat Ghani, 36, hanya cedera.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi mangsa dikatakan gagal memotong kenderaan lain di garisan berkembar lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Berikutan kejadian itu, katanya, kereta yang dipercayai dipandu laju oleh mangsa berpusing beberapa kali sebelum merempuh tiang elektrik.

"Mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk teruk itu dan terpaksa mendapat bantuan sepasukan anggota bomba untuk dikeluarkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata, kekerapan berlaku kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai sejak kebelakangan ini dipercayai disebabkan kecuaian pemandu.

"Kami juga mendapati mangsa yang memandu kereta Proton Wira itu tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 11:56 AM