Mohd Izham Unnip Abdullah dan Avila Geraldine


BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, menegaskan beliau bukan pelarian dan tidak pernah terniat untuk lari daripada pihak berkuasa Malaysia.

“Saya berada di luar negara atas sebab kesihatan serta rawatan rapi yang diperlukan dan ini dibuktikan dengan laporan kesihatan daripada doktor merawat saya.

“Saya adalah anak pribumi Sabah yang selama ini memberikan khidmat bakti terhadap kawasan saya wakili serta negeri Sabah yang saya cintai.

“Perjuangan dan khidmat kepada rakyat serta negeri ini akan tetap diteruskan dengan sedaya upaya saya. Insya-Allah,” katanya ketika membacakan kenyataan media selepas mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Sibuga di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Musa berkata, beliau kembali ke Sabah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat walaupun berdepan masalah kesihatan dan bertentangan dengan nasihat doktor.

“Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Speaker DUN yang memahami keadaan kesihatan saya serta memberi persetujuan untuk saya datang mengadap bagi membolehkan saya memenuhi tanggungjawab selaku ADUN.

“Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur dan akan tetap memberikan kerjasama selagi diperlukan,” katanya.

Musa selesai mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Speaker, Datuk Syed Abas Syed Ali pada 3.30 petang.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu tiba di pekarangan bangunan DUN pada 1.20 tengah hari sebelum naik ke pejabat Syed Abas pada 2.12 petang untuk proses mengangkat sumpah, namun Speaker hanya tiba pada 2.45 petang.

Turut kelihatan ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan beberapa ADUN pembangkang termasuk Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu) dan Datuk Masidi Manjun (Karanaan).

Dengan selesainya majlis itu, maka sahlah Musa sebagai ADUN untuk menjalankan kewajipan wakil rakyat di kawasannya selepas mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Beliau adalah wakil rakyat terakhir mengangkat sumpah sebagai ADUN di Sabah selepas tidak hadir dalam tiga persidangan DUN sebelum ini bermula pada 11 Jun lalu.

Berita berkaitan

'Musa Aman dah balik [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 5:01 PM
MUSA membaca kenyataan media ketika sidang media selepas selesai mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Sibuga di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah.