Ahmad Suhael Adnan


“KITA tahu siapa dapat dan sebagainya. Mereka tak boleh lari,” tegas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin

Beliau berkata, semua individu yang terbabit dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan dapat melarikan diri dari proses pendakwaan.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan sudah mengetahui semua jejak wang 1MDB, termasuklah mereka yang menerima wang daripada dana syarikat pelaburan strategik negara itu.

“Untuk kita (kerajaan), ‘money trail’ (jejak wang 1MDB) sudah cukup,” katanya dalam temu bual eksklusif Soal Rakyat yang disiarkan di TV3, malam ini.

Rancangan yang bersiaran selama sejam itu, dengan bekas Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaafar dan bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times Mustapha Kamil Mohd Janor sebagai perantara.

Daim berkata, tindakan pendakwaan mengambil sedikit masa kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum selesai dan berada pada tahap 60 peratus.


'Kerajaan ada bukti pembabitan Jho Low dalam skandal 1MDB'

Katanya, kelewatan itu berlaku kerana siasatan terpaksa dilakukan semula susulan kemunculan beberapa maklumat baharu selepas penemuan beberapa fail sulit berkaitan 1MDB yang disembunyikan sebelum ini.

Malah, ketika ini, beliau masih menerima pelbagai maklumat baharu yang mengejutkan pada setiap hari, khususnya membabitkan tahap pembabitan ahli perniagaan kontroversi dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam 1MDB.

“Jho Low katanya tak terbabit, tapi itu cerita dia. Kita ada keterangan, kita ada bukti. Sekarang, selepas Pakatan Harapan (PH) ambil alih, mereka yang terbabit sanggup jadi saksi dan cerita apa yang berlaku.

“Apa pun, semua kenyataan di sini sudah ambil, cuma dari luar negara saja. Hanya tunggu masa.

“Sebelum ini, bekas Peguam Negara tak mahu. Switzerland datang, dia tak mahu. Sekarang baru nak mula balik, jadi perlu sedikit masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 12:14 AM