Anwar akan bertanding pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan sebaik sahaja mana-mana kerusi dikosongkan oleh Ahli Parlimen PKR minggu hadapan.
Nor Fazlina Abdul Rahim


CALON Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengisytiharkan parti itu akan mengosongkan satu kerusi Parlimen minggu hadapan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Katanya, rakyat Malaysia akan menyaksikan sendiri kekosongan kerusi berkenaan dan Anwar akan kembali ke Parlimen tidak lama lagi.

Katanya, usaha memilih bakal Presiden PKR sebagai Ahli Parlimen itu bagi melengkapkan kerja keras mereka untuk melihat bakal Presiden PKR itu dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Langkah pertama usaha kita adalah jadikan Anwar sebagai presiden parti dan itu sudah berjaya. Manakala langkah kedua adalah jadikan Anwar sebagai Ahli Parlimen.

“Ini kerana banyak suara sumbang mempersoalkan Anwar bukan sesiapa, bukan Ahli Parlimen dan hanya bekas banduan.

“Justeru, saya nak beritahu orang Kelantan minggu depan akan ada satu kerusi Parlimen yang akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.

“Kalau Datuk Seri Azmin Ali atau Zuraida Kamaruddin tak mahu bagi kerusi tidak mengapa kerana kita ada ramai Ahli Parlimen yang sudi beri kerusi kepada Anwar,” katanya menyampaikan ceramah #REFORMASI 20 TAHUN di Kota Bharu, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 1:49 AM