GAMBAR kenangan Nur Fazlin dan Mohd Niaz yang maut kemalangan Kampung Melayu Raya, Segamat, hari ini. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
cnews@nstp.com.my


“SAYA bersama suami Jamalludin Jalani, 73, membeli ikan lais dan baung untuk memasak lauk kegemaran mereka, namun berita sedih pula yang saya terima, tetapi saya reda,” kata Jamilah Yahya, 73.

Anak perempuan pasangan itu, Nur Fazlin Jamalludin, 37, suaminya Nizam Othman, 51 dan dua anak mereka, Nor Naqia, 7 dan Mohd Niaz, 2, maut manakala seorang lagi anak mereka, Mohd Naqib, 9, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari, Honda Stream dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 176 Jalan Johor Baharu-Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat.

Menurut Habibah, dia menerima panggilan dari Nur Fazlin jam 8 malam kelmarin bahawa mereka sekeluarga akan pulang bercuti hujung minggu dari Pengerang ke Segamat.

“Arwah adalah anak kelima daripada enam beradik terdiri dua lelaki dan empat perempuan berusia antara 31 hingga 51 tahun,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Segamat.

Menurutnya, arwah turut mahu bercakap dengan bapanya ketika panggilan itu, namun Jamalludin tiada di rumah kerana menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau berhampiran.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian melalui panggilan telefon sebaik selesai menunaikan solat Zohor di rumahnya di Gemerih oleh salah seorang keluarga terdekat lalu bergegas ke hospital bersama suaminya.

“Kali terakhir kami bertemu Nur Fazlin sekeluarga pada Hari Raya Aidiladha lalu dan tidak menyangka ikan baung dan lais itu tidak sempat dijamah mereka,” katanya.

Katanya, Nur Fazlin bekerja sebagai jurutera di Rapid Pengerang, sementara arwah suaminya bekerja sebagai pengimpal di pelantar luar pantai antaranya di Amerika Syarikat dan Nigeria.

"Setiap kali mereka pulang ke kampung di Gemerih, ikan baung dan lais adalah antara menu utama. Kini ia hanya jadi kenangan sepanjang hayat."

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat, berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Empat beranak maut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 6:15 PM