PATI warga Myanmar yang ditahan anggota tentera di Bukit Kayu Hitam, hari ini. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ketika cuba memasuki negara ini di kawasan Sungai Laka berhampiran Pos Lima, Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Panglima Enam Briged Brigedier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, mereka terdiri lima lelaki dan dua wanita itu ditahan selepas terserempak dengan kumpulan ronda dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) pada 7 pagi.

“Pasukan ronda diketuai Mejar Rahman Arif Abidin melakukan tangkapan selepas melihat pergerakan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan di kawasan semak Sungai Laka.

“Selepas ditahan, pemeriksaan mendapati PATI berusia antara 20 hingga 35 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, PATI terbabit dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tenteta (PPAT) 5 RS bagi pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 7:39 PM